Friday, November 13, 2015

Surat Raja Muda Perlis kepada Francis Light (MS40320/3 folio 37) berkenaan permintaan budak perempuan daripada Francis Light (Selasa, 1 Syaaban 1202 Tahun Dal Awal / 6 Mei 1788)

Al-Musqah

Surat tulus ikhlas berkasih kasihan muafakat yang tiada berputusan selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan daripada beta Raja Muda yang memerintah negeri Perlis Bandar Indera Kayangan datang kepada sahabat beta Gurnador yang empunya perintah bandar Pulau Pinang yang termasyhur gah kepujian pada segala negeri atas angin dan bawah angin dan gagah perkasa bijaksana pada kerja perang di laut dan lagi pandai pada jalan berkasih kasihan dengan segala handai taulannya.


Kemudian dari itukan, sahabat beta pinta tolong beta cahari budak perempuan, beri pergi pada sahabat beta itu, sudah beta suruh cahari, boleh dua beranak perempuan keduanya. Maka itulah budak itu beta beri pada orang beta bawa bersama2 jun(?) sampaikan pada sahabat beta, pinta sahabat beta terima ambil pemberian beta, tiada dengan sepertinya. 

Maka ada beta hendak berguna kain itam sekayu dan kain putih yang halus lebar tiga hasta, kedua kayu itu hendak jadikan pakaian beta. Pinta sahabat beta serah mari pada penyuruh beta yang membawa surat beta ini, suruh pulang mari pada beta segera, boleh menengar warta kebajikan daripada sahabat beta. Maka jangan berputus jalan berkasih kasihan beta dengan sahabat beta.

Maka itulah ada nyatakan surat pada sehari bulan Syaaban hari Selasa, 1202, tahun Dul Awal, tamat.

[MS40320/3 f.37v]
Ini surat Tenku Raja Muda Perlis.

No comments:

Post a Comment