Tuesday, November 24, 2015

Surat Nakhoda Pu Saleh kepada Francis Light (MS40320/3 folio 43) berkenaan kapal yang dibawa lari dan peperangan yang berlaku di Acheh sekarang

Salam doa banyak2 siang dan malam tiada berputusan iaitu daripada Tuan Nakhoda Pu Saleh, barang disampaikan Allah Subhanahu wa Taala jua kiranya kepada saudara hamba iaitu Tuan Komandur Light yang telah ada sudah banyak kasih akan hadrat tuan kita di Aceh bandar Dar al-Salam, 


karena sebab ada hamba mendengar khabar akan hal kapal hadrat tuan kita yang dibawak lari oleh orang itu sudah tuan pegang, tidak tuan beri orang bawak lari ke sana sini, itulah kasih tuan akan hadrat tuan kita, tetap kepada hadrat tuan kita, belum lagi diketahui akan hal kapal itu sudah tuan pegang, sebab tiada ada lagi surat tuan akan hadrat tuan kita insya Allah Taala. 

Jikalau surat Tuan akan hadrat tuan kita tatkala itu diketahuilah oleh hadrat tuan kita, akan kasih dan sayang tuan terlalu besar ke atas hadrat tuan kita, melainkan Allah Taala yang amat mengetahui akan sekalian hal hambaNya di dalam dunia ini. 

Sekarang pun, barang tuan sempurnakanlah akan kasih tuan itu, karena negeri Aceh ini ada susah sedikit iaitu di dalam peperangan, tetap Allah Ta’ala ada menolong akan kita, segala2 tiada boleh seperti kehendaknya sekalian, melainkan kehendak Allah jua yang jadi. Demikianlah barang mafhum kepada tuan. 

Intaha al-kalam, bilkhair ‘ala al-dawam, amin ya rabbal ‘alamin.

No comments:

Post a Comment