Wednesday, November 11, 2015

Surat Laksamana Kedah kepada Francis Light (MS40320/3 folio 34) berkenaan penyiasatan Lebai Itam dan Kanju Tambi dan talak oleh pandai emas terhadap isterinya

Al-Mustahaqqah

Surat kasih sayang tulus ikhlas muafakat yang tiada berkesudahan daripada beta laksamana sampai pada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang.


Maka adalah surat sahabat beta beri mari itu sampailah pada beta. Maka tersebut dalamnya sahabat beta pinta periksa Lebai Itam dan Kanju Tambi. Maka sudahlah diperiksa. Maka berikrar kedua orang itu segala2 tiada diketahuinya perintah pandai emas memberi talak isterinya. Maka inilah rupa ikrarnya, beta suruh surat di belakang surat sahabat beta itu, pada hemat beta tentulah salah bini pandai emas itu, tambahan dengan kehendak Duli Yang Di Pertuan Yang Maha Mulia beri surat pada sahabat beta kehendak bini pandai emas itu dengan aduan lakinya, pada hemat beta sebaiknya sahabat beta kerasi, ambil bini pandai emas itu beri mari. Maka inilah beta nyatakan. 

Sebermula ada surat sahabat beta sepucuk, sahabat beta suruh beta maklum perintah Bendahari Muhamad Lebai katanya berikrar di hadapan baginda, tiada dibayar lagi rial seperti tersebut dalam surat sahabat beta itu. Maka inilah pinta sahabat beta beri mari orang yang sahabat beta serah rial suruh pergi bayar seamah(?) dan Cik Jak itu, boleh beta bawak maklumkan ke bawah duli baginda diperhadapkan dengan Bendahari Muhamad Lebai itu. Maka Bendahari Muhamad Lebai pun ada duduk menanti di Kedah ini, boleh diketahui ke bawah duli baginda perintah Bendahari Muhamad Lebai itu. 

Akan lembu sahabat beta kehendak itu yang ada dua tiga ekor sudah beta serah pada Saudagar Raja dahulu, ia beri pergi pada sahabat beta juga, yang ada ini tiga ekor beta hendak beri pergi pun kepalang. Maka sudah beta suruh pergi cahari beli, barangkali sudah dibawaknya mari, boleh beta nyatakan pergi pada sahabat beta, boleh sahabat beta suruh mari ambil. Ahwal inilah beta nyatakan.

Perbuat surat ini pada empat haribulan Zulhijah. Tamat.

[MS40320/3 f.34v]
Queda Letter 
Recd 31 Apr(?) 89

No comments:

Post a Comment