Friday, October 9, 2015

Surat Tuan Sayid Muhammad Terengganu kepada Francis Light (MS40320/3 folio 17) berkenaan Belanda tidak benarkan timah dibawa keluar dari Perak ke Pulau Pinang

Qawluhu al-Haq

Ini ala[mat] surat daripada sahabat Tuan Sayid Muhammad Terengganu yang bernaun[g] di dalam Selangor yang amat miskin lagi da’if. Barang disampaikan Allah kepada Dato’ Gurnador yang istirehat al-khair negeri Pulau Pinang yang beroleh pangkat martabat kemuliaan, barang (ditatapi?) Allah dalam negeri Pulau Pinang kiranya, ba’dahu.


Kemudian daripada itu, barang maklumlah Dato’ Gurnador adalah akan hal saudara sahaya itu dia duduk dalam Perah (Perak), beristeri kepada cucu Yang Dipertuan Perah (Perak) juga. Dalam itu kepada waktu ini dia keluar dari Perah (Perak) hendak akan negeri Pulau Pinang, dibawalah timah sebahara dua dari Perah (Perak). Di dalam itu tiada boleh lepas oleh Ulanda (Belanda), di dalam itu tinggal timah itu di jalan, lalulah saudara sahabat Gurnador itu akan Larut dengan perahu kecil. 

Dalam itu, dia pinta perahu kepada Tuan Sayid Muhammad, dia hendak datang akan negeri Pulau Pinang kepada Dato’ Gurndaor hendak membeli beras seratus dua. Maka inilah sahabat Tuan Sayid Muhammad memberi maklum kepada Dato’ Gurnador sebab saudara Tuan Syed Muhammad itu tiada pernah datang lagi. Maka itulah mana kurang pada bicaranya pinta Dato’ Gurnador ajar (pagar marilah?) sahabat Tuan Sayid Muhammad kepada Dato’ Gurnador. 

Dalam itu jika ada harap percaya pada rahim kepada Dato’, jika ada beras kepada Dato’, jika suka saudara sahaya itu Tuan Sayid Ahmad akan beras itu, melainkan pinta Dato’ hutangkanlah sebahara dua beras. Insya Allah jika tiada mati lamanya, di dalam dua tiga bulan kembalikanlah harga beras itu. Itu pun jika ada tawakal Dato’ Gurnador dengan kemudahannya. Dan lagi sahabat Tuan Sayid Muhammad pinta jam pasir kepada Dato’ satu. Suatu pun tidak tanda hayat, ada timah suatu jongkong kecil boleh buat peluru.

Perbuat surat kepada bulan Safar kepada tujuh hari bulan kepada hari Ahad kepada waktu zohor. Tamat.

[VERSO]
Sayid Muhammad Terengganu

No comments:

Post a Comment