Friday, October 16, 2015

Surat Saudagar Raja kepada Francis Light (MS40320/3 folio 21) 2 Jamadil Akhir 1202 Tahun2 Ba (10 Mac 1788) berkenaan pembelian kapur 2 koyan dan permintaan beras, lembu, ayam dan itik daripada Francis Light

Ya ‘Aziz al-Karim

Hamba Dato’ Saudagar Raja merafakkan sembah ke bawah kadam Dato’ Tuan Gurnador Pulau Pinang yang amat mulia.


Ahwal surat kadam Dato’ beri mari pada Duli Tengku Awi Yang Maha Mulia kehendaki kapur pada hamba Dato’. Maka hamba Dato’ beli kapur dua koyan, harganya lima belas rial. Maka hamba Dato’ beri upah lima rial, upah mengantar kapur itu hamba Dato’ beri pergi kepada Nakhoda Jailani, pinta kadam Dato’ suruh teman2 terima ambil. 

Syahdan dahulu kadam Dato’ suruh hamba Dato’ beli hantar beras, padi, kapur, lembu, ayam, itik dan rincik2. Maka hamba Dato’ sambut rial orang tengah dua ribu, beli serba jenis seperti pesan Dato’, serta hamba Dato’ perbuat daftar seperti modal hamba Dato’ beli barang dan belanjanya, hamba Dato’ hantar pergi pada kadam Dato’. 

Maka kadam Dato’ beri mari sehingga modal hamba Dato’ serta laba beras, maka sudah hamba Dato’ terima ambil. Maka laba padi, lembu, ayam, itik rincik2 tiada kadam Dato’ kurnia akan hamba Dato’ lagi. Hamba Dato’ orang miskin, lima enam tujuh orang duduk pinta membeli hantar barang2 itu akan kadam Dato’. Suatu pun tiada apa hamba Dato’ boleh. Ahwal inilah hamba Dato’ maklumkan, ‘izzat bertambah2, istirahat ‘ala al-dawam. 

Perbuat surat dua haribulan Jamadil Akhir, hari Isnin, sanah 1202 tahun2 dal awal. Tamat.

No comments:

Post a Comment