Monday, October 12, 2015

Surat Saudagar Raja kepada Francis Light (MS40320/3 folio 18) pada 28 Jamadil Akhir 1203 Tahun2 Ba (26 Mac 1789) berkenaan penetapan harga beras dan belian 50 bahara kapas dan 30 peti opium

Ya ‘Aziz

Hamba Dato’ Saudagar Raja merafakkan sembah ke hadrat Dato’ Tuan Gurnador Pulau Pinang yang amat mulia lagi arif bijaksana, telah masyhur ke mana2.


Kemudian dari itu, hamba Dato’ maklumkan ahwal hadrat Dato’ suruh Kapitan Uskut (Scott) mari putuskan harga beras. Maka oleh Kapitan Uskut (Scott) kehendaki beli sendirinya. Maka hamba Dato’ hendak putuskan harga beras dengan nama hadrat Dato’, maka tiada mau kapitan itu. Maka hamba Dato’ pun tiadalah berani beri beras akan orang lain karena titah duli Yang Dipertuan terjunjung ke atas jemala hamba Dato’, suruh himpun beras. Dan barang dagangan yang jadi guna pada hadrat Dato’ itulah hamba Dato’ duduk mengimpun taruh pada barang ketika hadrat Dato’ kehendaki itu, titah suruh beri akan hadrat Dato’. 

Dan lagi kata Kapitan Uskut (Scott), pesan hadrat Dato’ padanya, jika hamba Dato’ kehendaki barang dagangan, jika ada surat duli baginda, maka hadrat Dato’ suruh beri gunanya. Maka kata hamba Dato’ sudah ada surat duli baginda dahulu sepucuk, suruh beri dagangan barang jenis hamba Dato’ pinta itu. Maka kata Kapitan Uskat (Scott), surat itu tentu sepuluh peti opium sahaja, tiada sebut yang lain.

Maka inilah hamba Dato’ beri pergi surat titah duli baginda yang lain pula. Hamba Dato’ pinta dagangan kapas barang lima puluh bahara dan opium barang tiga puluh peti dan barang jenis dagangan dua tiga ribu riyal sekalian itu dengan harga serupa. Maka dagangan itu boleh hamba Dato’ taruh jual himpun timah, lilin dan beras dan riyal dan emas urai, barang yang terhimpun itu boleh hamba Dato’ beri pergi surat suruh orang hadrat Dato’ mari terima ambil. 

Maka hal harga beras itu di sinun, hadrat Dato’ pun tahu banyak susut dan belanja dan pinta pinta hadrat Dato’ tentukan harga beras itu atas patutan, tanyakan mari boleh hamba Dato’ beli himpun taruh, jadi pun hamba Dato’ pinta segala dagangan ini karena tiada kapal dan segala dagang mari ke kuala ini melainkan mana dagangan belanja negeri ini. Hamba Dato’ pinta hadrat Dato’ beri mari terima ambil barang dagangan yang terhimpun pada hamba Dato’ di sinun. 

Maka akan dagangan Maku` daripada kain gulung dan talam dan pinggan mangkuk, barang yang jadi belanja, dalam itu sudah hamba Dato’ pesan pada Dato’ Raja Pahlawan Malinjan, itu pun hamba Dato’ pinta barang seribu riyal. Maka segala dagangan ini hamba Dato’ pinta tolong muat dalam Jaga2, hantar mari bersama2 To` Raja Pahlawan Malinjan serta tentukan daftar harga dagangan itu beri mari.

Perbuat surat hari Khamis dulapan likur hari bulan Jamadil Akhir pada sanah 1203 tahun2 ba. Tamat.

[verso]
Ini surat Saudagar Raja

Soodagar Raja
31 Apl. 1789

No comments:

Post a Comment