Thursday, October 22, 2015

Surat daripada Nakhoda Syeikh kepada Jogan Piyarat (MS40320/3 folio 22) berkenaan fitnah terhadapnya sehingga hartanya dirampas

Huwa Allah

Patik Nakhoda Syeikh, hamba yang hina, maklumkan sembah ke bawah kadam Jogan Piyarat, kapitan yang mulia lagi beroleh martabat yang tinggi daripada Allah Subhanahu Wa Taala, menjadi raja boleh menolong segala hal patik sekalian ini.


Patik maklumkan, ahwal patik ini mari dalam negeri ini, patik hendak mari menyaga (meniaga) sambil hendak ambil anak, tinggal negeri Salang ini, lagi tinggal piutang dalam negeri ini. Inilah jadi patik masuk hendak menyaga (meniaga) lagi, patik maklumkan pada Jogan, dengan benar Jogan suruh masuk jadi patik masuk, serta patik masuk ke dalam sungai jukit(?), serta dengan orang buat akan patik, buat fi[t]nah kenakan patik ini, disuruh raja Kedah mari melihat perintah negeri Salang. 

Demikianlah fi[t]nah orang pada Piya Indera Wangsa Raja, itu pun dengarkan fitnah orang tiada dengan periksanya, dibuat akan patik, dipukulnya patik dengan teman2 patik dulapan orang, dengan patik dibubuhnya ka, patik duduk ke dalam, patik ini diserahnya pada pergi Salang, patik duduk pada pergi Salang, sangatlah dalam sakitan, segala harta patik pun habis tiada berketahuan dirampasnya. 

Ahwal inilah patik pinta tolong pada Piya Rat kapitan. Ahwa[l] patik ini, tolong lepaskan daripada ka ini dengan nama Jogan, pintak pada pergi Salang, lepaskan patik dengan teman2 patik, boleh patik jadi hamba pada Jogan, patik duduk sama Jogan jadi hamba, boleh patik cahari bayar akan Jogan. 

Dahulu pun patik beri surat sembah pada anak patik mengadap Jogan, pintak tolong beri surat Jogan pada pergi Salang, berapa Raja Salang kehendak, Jogan bayar, dikehendakinya pada pada patik empat bahara, hendak dilepasnya akan patik dengan teman2 patik, demikian katanya. Inilah patik suruh mengadap anak patik pada Jogan, patik pintak tolong bayar dengan nama Jogan, patik duduk bersama dengan Jogan, patik jadi hamba pada Jogan. 

Ahwal inilah patik maklumkan, rendah ku tinggi harap patik pada Jogan seperti Jogan berbuat masjid di tengah jalan. Demikianlah Jogan beroleh pahalanya daripada Tuhan Rab al-‘Alamin.

No comments:

Post a Comment