Friday, March 27, 2015

Surat Syahbandar Mahbub Selangor kepada Francis Light (MS40320/1 folio 45) tentang hutang Raja Bayang Perak dan rancangan serangan Siak (Ahad, 22 Safar)

Nur al-Shams

Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta putih hati tiada berhingga iaitu daripada Mahbub hamba Allah yang daif lagi miskin barang disampaikan Tuhan sarwa segala alam apalah kiranya datang kepada sahabat sahaya Senyur Gurnador yang memerintahkan Pulau Pinang serta dengan adil saksamanya serta bertambah2 juga martabat yang kebesarannya dan kemuliaannya itu lagi bertambah2 juga izzatnya lagi duduk di dalam istirehat dan afiat ala al-dawam amin ya rab al-alamin wa ba’dahu 

kemudian daripada itu barang maklum kiranya sahabat sahaya itu adalah sahaya menyuruhkan Nakhoda Muhammad orang Bugis itu mendapatkan sahabat sahaya itu serta ia hendak mencari dagangan serba sedikit itu barang suatu halnya dan ahwalnya dalam Pulau Pinang itu melainkan dengan tolong Senyur Gurnadorlah sahaya harap akan menolong hal ehwalnya itu dan lagi adalah Raja Bayang di Perak ia berutang  kepada sahaya tatkala masa Duli Yang Di-Pertuan berangkat ke Perak itu dia ambil opiun  serta kain beli itu banyak utangnya  lima ratus ringgit dalam itu Ahmad al-Qassasi serta Nakhoda Salim  disuruh Yang Metuan Selangor menunggu ke Perak itu maka Raja Bayang berbayar tiga ratus dua puluh lima ringgit tinggal lagi utang  Raja Bayang kepada Mahbub itu seratus tujuh puluh lima ringgit maka inilah sahaya wakilkan kepada Nakhoda Muhamad yang membawa surat ini menunggunya serta cap surat Sultan Muda di Perak pun ada sahaya kirimkan kepada Nakhoda Muhamad itu akan jadi tapak tangan Raja Bayang itu itu pun dengan tolong Tuan Gurnadorlah menerbitkan rial sahaya kepada Raja Bayang itu jikalau sudah terbit dan keluar Tuan Gurnador pulangkan kepada sahabat sahaya Kapitan Uskut  itu kerana sahaya pun ada berutang  kepada Kapitan Uskut  itu hubaya2 jangan tiada Tuan Gurnador tolong terbitkan rial sahaya kepada Raja Bayang itu Datuk Penggawa pun tahu dan jurutulis Ahmad al-Qassasi pun tahu fasal ia berutang  kepada sahaya itu tatkala sahaya ke Perak baharu ini ia pun lari mudik lalu ia lari ke Pulau Pinang itu ahwal inilah sahaya nyatakan kelakuan Raja Bayang berbuatkan rial sahaya itu sekarang sudah kelak lima tahun lamanya ia berutang  kepada sahaya itu dan lagi hendaklah tolong oleh sahabat sahaya Nakhoda Muhammad itu opiun  barang dua peti sahayalah mengakunya itu dia sahaya suruhkan kebali  itu membawa opiun  jika tiada apa aral lain tahun empat lima buah perahu Bugis boleh sahaya bawa ke Pulau Pinang itu kepada Nakhoda Muhamad itu kerana Nakhoda Muhamad itu satu orang betul satu pun tiada hanyalah kirim tabik2 banyak2 kepada Tuan Gurnador serta Kapitan Uskut  tamat pergi surat dua likur bulan Safar kepada hari Ahad intaha al-kalam dan lagi sahaya memberi ingat kepada sahabat sahaya kepada bulan Rabiul Awal hendaklah ingat2 orang serta orang Siak Raja Mudanya hendak memukul Pulau Pinang itu khabar itu sah serta tentu itu maka sahaya ingatkan daripada tulus dan ikhlas hati sahaya itu kepada Tuan Gurnador serta Kapitan Uskut  itu seperti perahu Bugis tahun ini semuanya dilarang oleh Raja Melaka tiadalah diberinya lalu ke Pulau Pinang tahun ini dalam Melaka enam buah perahu Bugis Selangor enam buah ditahan Yang Metuan dengan suruh Raja Melaka itu sebuah Nakhoda Muhamad itu sahaya lepaskan ia lalu ke Pulau Pinang itu inilah sahaya nyatakan tamat

No comments:

Post a Comment